University Malaya (Malaysia) People@UM – Akhbar Rahman

“Buat apa nak malu? Kita buat kerja halal; bukannya mencuri,” kata Akhbar Rahman, Pemandu Kenderaan H11 di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) Universiti Malaya ketika kami temui baru-baru ini.

 

Akhbar merupakan salah seorang daripada tiga orang pemandu JPPHB yang ditugaskan untuk memandu lori pembersihan ke seluruh kawasan kampus bagi mengutip sampah sarap yang terkumpul di semua lokasi rumah sampah. “Setiap hari, sekurang-kurangnya saya akan memandu sejauh 50 kilometer bagi mengutip sampah. Dua kali trip waktu pagi, dan sekali lagi di waktu petang,” terangnya mengenai tugas penting yang diamanahkan kepadanya.

 

Ayah kepada seorang anak ini memaklumkan yang dirinya bukan hanya mampu memandu kereta dan lori, malah kesemua kenderaan yang dimiliki universiti, termasuklah traktor, bas persiaran dan kren pengangkat (‘skylift’). “Tapi saya tetap paling bangga dengan tugas utama saya ini, iaitu memandu lori sampah. Kalau kami tak bergerak, habis kotor kampus kita!” katanya, sambil tersenyum.

 

Anak jati Melaka yang telah bertugas di UM sejak tahun 2001 ini tertawa bila kami inginkan kepastian sama ada antara kriteria menjadi pemandu lori perlulah mempunyai saiz fizikal yang besar. “Salah tu. Jawapannya tidak sama sekali. Kebetulan sahaja saya memang berbadan besar dan bertugas sebagai pemandu. Yang paling penting ialah ilmu, daya fokus yang tinggi ketika memandu, dan kemahuan untuk memajukan diri dalam kerjaya.

 

Dan bercakap mengenai kerjaya, suka saya berkongsi pesanan arwah ibu saya semasa mula-mula bekerja dengan UM dahulu: jangan tinggal solat, jangan ambil hak orang, dan sentiasa berlapang dada dengan rezeki yang Tuhan aturkan. Kita kena sentiasa jujur dan bertanggungjawab dengan amanah yang diberi,” kongsinya.

 

Ditanya mengenai perancangan menjelang tarikh persaraannya yang bakal tiba tidak lama lagi, penggemar asam pedas ikan pari ini pantas menjawab: “Saya sebenarnya ada impian nak dapatkan satu lagi lesen memandu. Kenderaan yang sangat istimewa, dan hanya lesen membawa kenderaan itu saja yang saya belum ada.”

 

“Lesen apa tu bang?” tanya jurufoto kami.

 

“Saya nak ada lesen kapal terbang!” selorohnya, sambil memulakan enjin lorinya bagi memulakan perjalanan syif petang mengelilingi kampus.

 

……