University Malaya (Malaysia) Fakulti Undang-undang UM Raikan Alumni Dalam Majlis Makan Malam Diraja Jubli Emas

KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2022 : Lebih 400 alumni diraikan di Majlis Makan Malam DiRaja Jubli Emas anjuran Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sempena sambutan ulang tahun ke 50 tahun yang dihadiri oleh tetamu khas, Canselor Universiti Malaya, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Antara alumni ternama yang hadir ialah Ketua Hakim Negara, YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, YBhg Tan Sri Shahrizat Abu Jalil, Pengerusi Ahli Lembaga Universiti Malaya, YBhg Tan Sri Zarinah Anwar, Presiden Persatuan Alumni Universtii Malaya, YBhg. Dato’ Azmi Mohd Ali dan Y.A Bhg Tun Mohamed Raus Sharif.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Fakulti Undang-Undang telah menghasilkan hampir 7,000 lulusan dan alumni pada hari ini merupakan alumni yang paling berpengaruh di dalam negara.

“Ketiga-tiga cabang kerajaan dipimpin oleh alumni Fakulti ini, iaitu Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara dan Speaker Dewan Rakyat dan ini tidak termasuk Menteri-Menteri Kabinet, Hakim-Hakim Mahkamah Atasan, Wakil-Wakil Rakyat dan tokoh-tokoh profesional Undang-Undang, Tokoh-Tokoh Korporat, tokoh-tokoh Akademik dan  dari pelbagai bidang lagi yang memimpin pemikiran di negara ini.

“Saya percaya alumninya terutama yang hadir pada majlis gemilang malam ini sudah semestinya berbangga dengan kejayaan 50 tahun Fakulti ini. Hasil kerja keras semua yang berkaitan telah meletakkan Fakulti di aras top 100 bidang undang-undang dalam QS World University Ranking, Kedudukan ke 12 di Asia, dan Kedua di Asia Tenggara selepas National University of Singapore.

“Pada hari ini, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya berdiri megah hasil usaha pelopor-pelopornya, tiga belas Dekan-Dekannya, ahli akademiknya, para mahasiswanya dan alumninya. Saya percaya dan berdoa dengan adanya semua yang telah diusahakan serta dibina, diteruskan dengan usaha gigih dan bersungguh-sungguh semua yang berkenaan, Fakulti akan terus gemilang dan cemerlang untuk 50 tahun akan datang,” katanya dalam sembah ucapan alu-aluanya pada Majlis Makan Malam tersebut.

Pada 17 Jun yang lepas, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang anjuran Universiti Malaya dengan kerjasama Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, di Dewan Tunku Canselor.

Turut hadir ke majlis tersebut juga adalah alumni-alumni Fakulti Undang-Undang yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim -Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim – Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Timbalan Pendakwa Raya, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Kehakiman dan Pegawai Undang-Undang.